Wednesday, November 19, 2008

Syukur akhirnya ada rakyat Malaysia berbangsa cina menempelak bangsa cina yg tamak dan lupa daratan..

Petikan dari Utusan Malaysia 18.11.2008
Timbang politik berasaskan keadilan
Oleh MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
KENAPAKAH setelah lebih daripada 50 tahun merdeka kita masih gagal untuk melahirkan masyarakat berbilang kaum yang meletakkan kepentingan nasional di hadapan? Inilah perkara yang mesti dikaji dan diuji oleh pemimpin-pemimpin hari ini agar jangan terlalu sibuk berpolitik sehingga melupakan atau sengaja melupakan kepentingan masa hadapan atau kepentingan negara secara keseluruhan.
Kenapakah kita tidak belajar daripada negara jiran terdekat seperti Thailand dan Indonesia yang berjaya menanamkan semangat kebangsaan dan patriotik yang tinggi kalangan rakyat mereka berbilang kaum?
Tidakkah kita belajar daripada pengalaman apa yang berlaku di Singapura? Setelah sebuah negeri Melayu terlepas kepada tangan bukan Melayu, apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu di sana? Terbelakah nasib orang Melayu? Adakah orang Melayu mendapat tempat dalam percaturan kuasa politik?
Menurut Lily Zubaidah (2001), yang membuat kajian mengenai nasib Melayu di Singapura, bahawa orang Melayu semakin tidak mendapat tempat di bawah kerajaan PAP yang diperturunkan oleh Lee Kuan Yew. Orang Melayu tidak lagi diberikan tempat seperti dahulu. Kalau adapun tempat diberikan adalah kalangan Melayu yang telah cair sifat keMelayuan dan keIslamannya.
Kepimpinan Cina di Singapura tidak lagi mempercayai orang Melayu di sana. Dengan sebab itu, mereka terus didiskriminasikan, walaupun dinafikan sendiri oleh Melayu Singapura yang mahu menjaga periuk nasi masing-masing. Namun, perilaku mereka menunjukkan segala-galanya.
Orang Melayu langsung tidak dapat tempat untuk memegang jawatan tinggi dan kritikal dalam perkhidmatan seperti ketua tentera, polis, juruterbang, imigresen dan sebagainya.
Saya begitu teruja apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong diajukan oleh wartawan persoalan akan pandangan beliau mengenai perkembangan politik di Amerika Syarikat berkaitan kejayaan presiden Barack Obama. Lebih lunak sedikit daripada bapanya, Hsein Loong mengeluarkan kenyataan bahawa satu hari nanti orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri di Singapura.
Persoalannya, bila? Sama ada ia akan menjadi realiti atau tidak hanya Tuhan yang lalu. Keadaan hari ini yang berlaku sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita bahawa proses ke arah itu masih terlalu jauh disebabkan oleh sikap ultra kiasu yang amat menebal.
Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu mempunyai sikap akomodasi yang tinggi. Selain daripada isu penerimaan orang Cina sebagai warganegara (Jus Soli), orang Melayu juga sanggup melepaskan sebuah negara Melayu iaitu Singapura kepada orang Cina dalam keadaan terpaksa. Namun, setelah orang Cina mendapat negara tersebut, mereka tidak pernah percaya kepada orang Melayu.
Malah menaruh syak wasangka atau persepsi yang kurang menyenangkan. Walaupun negara ini mendakwa mengamalkan dasar terbuka seperti yang didakwa, nyata sekali diskriminasi amat jelas dan nyata terhadap orang Melayu.
Orang Cina Singapura tidak pernah percaya kepada orang Melayu. Pendek kata, proses peminggiran orang Melayu berlaku dalam hampir semua aspek kehidupan seperti ekonomi, politik, sosial, budaya dan sejarah (Lily Zubaidah, 2001). Saya agak hairan bagaimana Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu begitu berani menyindir Malaysia dengan mengatakan orang Cina dipinggirkan dalam arus perdana kepemimpinan negara.
Justeru, bagi saya, membandingkan Barack Hussein Obama, pemimpin kulit hitam yang berjaya menjadi presiden Amerika Syarikat adalah contoh yang amat dangkal dan amat ultra kiasu. Inilah politik kotor yang sentiasa dimain-mainkan untuk mengugut kepemimpinan hari ini. Sejarah kita berbeza sejarah Amerika Syarikat.
Kejayaan Obama masih terlalu baru. Kita jangan terlalu yakin, terutamanya umat Islam yang meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap Obama menggantikan Bush yang dianggap sebagai dajal.
Jika Obama beragama Islam, saya tidak yakin beliau pergi lebih jauh sehingga setakat ini. Faktor peribadi beliau turut membantu. Beliau bukanlah dalam kategori kulit hitam tulen seperti kulit hitam di Afrika.
Ibunya adalah rakyat Amerika Syarikat berkulit putih. Cuma bapanya sahaja berkulit hitam daripada Kenya. Pendek kata, Obama adalah campuran darah kulit putih dan kulit hitam.
Salah satu sokongan yang diperolehi juga disebabkan beliau secara terang mengaku berpegang kepada agama kristian. Tidak ketinggalan, beliau mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin dan korporat-korporat Yahudi antarabangsa.
Saya bimbang umat Islam akan kecewa suatu hari nanti jika terlalu bergantung harapan kepada Obama. Tunggu dan lihat. Apa pun saya boleh katakan, jika Obama beragama Islam, berkulit hitam tulen, dan tidak bersikap lunak terhadap Yahudi, jangan harap dia boleh menjadi presiden Amerika Syarikat. Inilah sejarah politik yang mesti difahami.
Persoalan saya, kenapa DAP, Gerakan dan MCA membandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat? Kenapa tidak bandingkan Malaysia dengan negeri China atau India yang lebih bersifat ketimuran? Pada saya, DAP, Gerakan dan MCA sekadar mengambil kesempatan dalam apa jua ruang dan peluang untuk mendapatkan apa yang selama ini tidak didapati.
Saya ajukan persoalan ini kepada mereka untuk dijawab, bolehkah Cina Muslim atau India Muslim menjadi Perdana Menteri di negara China dan India, sedangkan mereka daripada satu bangsa yang sama.
Saya memberikan jawapan terlebih dahulu, jauh panggang dari api. Justeru, membanding Malaysia dengan Amerika Syarikat adalah sikap yang amat kiasu atau ultra Cina yang tidak sepatutnya berlaku bagi mereka yang telah tinggal di tanah air tercinta ini sekian lama.
Saya masih beranggapan baik bahawa orang Melayu boleh atau akan menerima orang Cina sebagai perdana menteri atau timbalan, jika orang Cina itu beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu termasuk, fasih berbahasa Melayu dan lain-lain lagi.
Kenapa hari ini orang Melayu masih agak berat hati untuk menerima orang bukan Melayu untuk diletakkan pada hierarki yang tertinggi dalam kepemimpinan negara dan organisasi? Berbanding dengan kenapa rakyat Thai boleh menerima Thaksin sebagai ketua negara mereka suatu ketika dahulu walaupun Thaksin mempunyai darah keturunan Cina yang amat ketara? Jawapannya, kerana Thaksin beragama Buddha, sama seperti orang Siam yang lain.
Perawakan Thaksin tidak lagi kelihatan sebagai orang Cina, tetapi lebih Siam daripada orang Siam. Thaksin mempunyai semangat patriotisme Thai yang amat tinggi. Sebab itu Thaksin berjaya. Namun keadaan di Malaysia begitu jauh berbeza, majoriti bukan Melayu langsung tidak mahu dikaitkan atau diasimilasikan langsung dengan budaya dan cara hidup orang Melayu. Dengan sebab kebudayaan kebangsaan gagal mencapai matlamatnya.
Persoalan saya kepada MCA, Gerakan dan DAP, berapa ramai orang Cina hari ini yang boleh menguasai bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu dengan baik? Berapa ramai wakil-wakil rakyat Cina sanggup memakai songkok atau baju Melayu ketika ada majlis rasmi seperti persidangan Parlimen? Inikah sikap Perdana Menteri yang kita mahukan? Jika inilah sikap yang ditonjolkan, jangan harapkan mereka mengimpikan untuk menjadi perdana menteri.
Hari ini seolah-olah amanat Tunku dan Cheng Lock sudah tidak relevan lagi. Orang Cina tidak hanya menuntut kek ekonomi dan kek kuasa yang lebih besar. Majoriti mereka berpendapat bahawa DEB sudah tidak relevan lagi. Lupakah kita kepada bumiputera Sabah dan Sarawak? Tidakkah mereka lebih berhak untuk menuntut? Seperti mana tuntutan mereka agar jawatan Naib Presiden UMNO hendaklah diperuntukkan kepada bumiputera UMNO Sabah?
Saya cukup bersetuju dengan idea ini, agar politik kita tidak mengkesampingkan Sabah dan Sarawak yang telah dijemput menyertai Malaysia sekian lama. Kita sedia maklumkan bahawa keadaan di sana masih kurang membangun jika dibanding dengan Semenanjung.
Justeru, jika tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Pengerusi Barisan Nasional atau jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam, diajukan kepada kerajaan, yang lebih berhak mendapatkannya adalah bumiputera Sabah dan Sarawak dan bukannya yang lain.
Inilah hakikat politik berunsurkan keadilan yang perlu dikaji dan dinilai dengan serius oleh bukan Melayu. Keadilan bukan bermakna sama rata sama rasa tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Apakah yang dimaksud konsep adil dalam konteks bumiputera Sabah dan Sarawak. Pertama, mereka bukan pendatang.
Kedua, mereka dijemput menyertai Tanah Melayu seterusnya membentuk Malaysia. Ketiga, keadaan di sana masih mundur berbanding Semenanjung. Keempat, kemiskinan tegar di sana masih begitu banyak berbanding dengan Semenanjung dan sebagainya.
Sebenarnya, banyak lagi faktor yang boleh diberikan. Justeru, saya percaya, mesti ada rasionalnya kenapa kalangan pemimpin-pemimpin Melayu masih mahu DEB terus disambung semula dalam versi baru. Mungkin sudah ada kesedaran bahawa, ia perlu dilaksanakan secara lebih telus agar mereka yang benar-benar layak sahaja yang dibantu, bukannya memperkayakan segelintir kroni dan orang tertentu sahaja seperti sebelum ini.
Matlamat DEB adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara Melayu dengan bukan Melayu, dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Kita perlu mengambil pengajaran kata-kata seorang pengkaji barat seperti Leon Comber (2007) yang menegaskan, jika semangat DEB diamalkan sejak dulu, tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu daripada diri mereka, sudah pasti tiada orang yang akan menentangnya. Tetapi adalah jelas bahawa semua ini banyak bergantung kepada cara bagaimana dasar itu ditafsirkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa Malaysia. Era selepas DEB dilaksanakan menandakan titik permulaan dalam lipatan sejarah perhubungan Melayu-Cina.
Sementara bagi orang Cina pula, sebaik sahaja DEB diwujudkan, isu ini terus menjadi fokus utama dan perbahasan hangat tanpa kesudahan. Kebanyakan tulisan penyelidik dan cendekiawan Cina (Kua Kia Soong, 1990, Thock Ker Pong, 2005, Ye Lin-Sheng, 2005 dan lain-lain) banyak mengkritik DEB, apatah lagi apabila tempohnya telah tamat. Jarang yang mahu melihat kebaikan yang diperolehi daripada dasar ini, walaupun tidak dinafikan kelemahannya akibat tidak diuruskan dengan jujur ikhlas.
Menurut Faaland (2005: 165-166), daya pendorong umum sikap orang Cina terhadap DEB, seperti dibayangkan oleh parti-parti politik mereka iaitu, DAP, MCA dan Gerakan, adalah amat jelas sekali.
Meskipun ada kelainan dari segi perinciannya, mereka menyokong objektif pembasmian kemiskinan DEB, kerana ini akan turut memberi manfaat kepada orang Cina yang miskin di kawasan-kawasan bandar dan juga luar bandar, khususnya mereka yang tinggal di Kampung-Kampung Baru, di mana terdapat orang Cina yang berada dalam kemiskinan tegar.
Tetapi kebanyakan daripada mereka lebih suka merobohkan objektif penstrukturan semula DEB. Objektif ini dilihat sebagai bersifat diskriminasi dan tidak adil. Malah kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu dianggap menjadi penyebab kepada penghakisan kepentingan masyarakat Cina (Thock Ker Pong, 2005: 89).
Perlu ditegaskan, DEB memang tidak dapat dipisahkan daripada UMNO. DEB adalah daging UMNO. UMNO dan DEB tidak banyak bezanya. Justeru, memansuhkan DEB samalah seperti memansuhkan UMNO kerana DEB ibarat anak UMNO (Faaland et al, 2005: 184).
Sama juga seperti menghapuskan sekolah Cina seolah-olah mahu menghapuskan orang Cina. Jika DEB anak UMNO, maka Sekolah Cina adalah anak orang Cina. Perjuangan mempertahankan Sekolah Cina adalah hidup mati orang Cina (Lee Boon Kok, temu bual 7 Januari 2007).
Keadaan menjadi semakin rumit apabila sistem pendidikan sebegini terus terbawa-bawa sehingga peringkat institusi pengajian tinggi. Sekolah Cina telah berkembang menjadi Universiti Cina. Penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej New Era (Dong Jiao Zong), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan) dan banyak IPT Cina yang lain.
Mengikut statistik yang saya perolehi, hampir seratus-peratus pelajar di IPT tersebut adalah orang Cina. Ini tidak termasuk Institut Perubatan, Sains dan Teknologi (AIMST) yang dipunyai oleh MIC dan tuntutan yang akan dikemukakan oleh parti-parti politik bumiputera Sabah dan Sarawak.
Benar, saya tidak nafikan bahawa universiti-universiti yang disebutkan tadi, mengamalkan dasar terbuka untuk sesiapa sahaja memasukinya.
Tetapi oleh kerana trade mark itu adalah sebuah universiti Cina, adalah sukar untuk menarik bangsa lain untuk memohonnya.
Justeru, rakyat Malaysia mesti bertindak berasaskan prioriti bukan emosi. Membanding keadaan Malaysia dengan keadaan Obama di Amerika Syarikat adalah sifat ultra kiasu yang mesti dijauhi.
Apa yang penting ialah rakyat Malaysia mesti berfikir berasaskan kepentingan berikut: (i) meletakkan kepentingan nasional di hadapan berbanding kepentingan etnik, (ii) mendahulukan kepentingan negara berbanding kepentingan bangsa, (iii) mengutamakan kepentingan masa depan, berbanding kepentingan masa kini, dan (iv) mengutamakan kepentingan yang berterusan berbanding dengan kepentingan sementara.
Semua kepentingan yang diperjuangkan mesti berpandukan kepada sejarah negara, kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui secara bersama, bukannya mengikut emosi dan rasis etnik masing-masing.

P/S: Buat baik berpada-pada, buat jahat jgn sekali..

Monday, November 17, 2008

Bukan Melayu sebagai PM

Saya ada terbaca tentang isu bukan melayu boleh menjawat jawatan PM. Memang benar tiada dalam perlembagaan untuk orang bukan melayu menjadi PM. Namun kita harus menyedari bahawa dalam membangkitkan isu ini ianya harus dilihat dalam konteks yang lebih luas. Bagi saya tidak menjadi satu masalah untuk bukan melayu menjadi PM. Namun ianya hanya boleh berlaku setelah berlaku perubahan yang besar dari pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia umumnya.

Ada pihak yang membangkitkan isu ini apabila Barack Obama memenangi pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) dan memberikan hujah bahawa kita masih belum maju dan bebas seperti di AS. Ternyata mereka-mereka yang berhujah sedemikian tidak memahami dengan jelas struktur kenegaraan yang wujud di negara ini. Sistem kenegaraan dan sistem politik mahupun sistem parti amat berbeza sama sekali di Malaysia dan AS. Lihat negara China sebagai contoh. Mereka mempunyai sistem kenegaraan yang berbeza. Amat bodoh sekiranya seseorang membuat satu kenyataan bahawa orang bukan cina boleh menjadi Presiden negara China ketika ini.

Faktor Pertama yang harus kita fahami adalah konsep sistem parti yang wujud. Ketika ini kita tidak mempunyai sistem politik dua parti seperti di AS. Republikan dan Demokrat merupaka dua parti yang boleh mencalonkan selain orang berkulit putih menjadi calon Presiden. Itupun setelah lebih 400 tahun mereka melalui proses yang panjang melihatkan penindasan, sistem hamba abdi, hak pengundian oleh kulit hitam tidak diberikan, penghalangan kahwin campur dan sebagainya. Ianya tidak wujud di negara ini. Malah kalau kita lihat jumlah wakil rakyat berbangsa bukan melayu amat ramai sekali di negara ini. Begitu juga jawatan2 penting seperti Menteri, Timbalan Menteri dan sebagaianya.

Mungkin juga mereka yang melontarkan pandangan ini ingin menguji sejauh mana penerimaan masyarakat tentang PM bukan melayu. Mereka yang melontarkan isu ini hakikatnya jelas tidak matang dan bersifat perkauman. Adakah menjadi satu masalah sekiranya PM berbangsa melayu. sekiranya mereka mempunyai masalah dalam penerimaan melayu sebagai PM, maka mereka sebenarnya bersifat perkauman. Lihat sahaja isu pelantikan orangg melayu di jawatan2 besar dalam syarikat yang dipegang oleh bukan melayu. Amat ketara sekali orang melayu tidak diberikan tempat yang sewajarnya di dalam syarikat-syarikat swasta milik bukan melayu. Maka kita harus menerima hak dan sifat semulajadi manusia dalam membuat sesuatu pemilihan.

Faktor kedua harus difahami dengan baik. Iaitu faktor sejarah dan asas penubuhan negara itu sendiri. Sebab itu dalam isu pelantikan pengurus besar PKNS saya telah menulis tentang kepentingan menjaga asas penubuhan PKNS itu sendiri. Dalam konteks ini kita harus melihat kepada kesinambungan kerajaan-kerajaan negeri yang bergabung membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya ditukar kepada nama Malaysia. Negeri-negeri tanah melayu adalah dimiliki dan dipimpin oleh raja-raja melayu. Asas inilah yang harus difahami dengan baik.

Apabila kurang kefahaman oleh bukan melayu mahupun melayu sendiri maka keluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak berpijak di bumi nyata. Banyak rethorik dan pandangan idealistik yang dilontarkan dan ramai pula yang bersetuju dengannya tanpa membuat analisa secara terperinci. Sifat manusia memang berpuak-puak dan kita juga dijadikan berbilang kaum di serata alam. itulah lumrah yang tidak dapat ditolak. Saya sering menekankan tentang toleransi dan kefahaman budaya dan perbezaan kaum ini. Cukuplah kata-kata retorik tiada perasaan dan jiwa kebangsaan yang wujud secara semulajadi. Itulah penafian yang merupakan penipuan nyata alaf baru ini yang sering digunapakai sebagai modal politik sesetengah pihak terutamanya pembangkang. Bagi yang tidak berfikir pasti akan terpedaya. Saya amat jelas..

Faktor Ketiga adalah agama. Agama memainkan peranan dalam hubungan sesama manusia. Kita harus memahami bahawa sebagai manusia secara semulajadi kita akan berpihak kepada sesiapa yang mempunyai persamaan. Ini lumrah. Sebab itu di AS, rakyatnya boleh menerima Obama atas sebab dia beragama kristian. Malah isu agama ini amat memainkan peranan yang penting dalam pemilihan Presiden kali ini selain isu-isu lain. Sebab itu kita lihat Obama berulangkali menyatakan dia serang penganut agama Kristian dan bukan beragama Islam seperti yang digembar-gemburkan. Kenapa isu ini menjadi begitu ketara dilontarkan. Sebab di AS mereka masih belum bersedia menerima bukan Kristian sebagai Presiden. Di Malaysia ianya menjadi lebih rumit kerana Islam diletakkan begitu tinggi di dalam Perlembagaan malah Malaysia hari ini merupakan beberapa sahaja negara Islam yang pengamalan agamanya adalah terbaik di akhir zaman ini. Namun banyak lagi perkara tentang Islam yang perlu dipertingkatkan dan dilaksanakan. Perbandingan dengan negara Indonesia dapat memahamkan kita isu ini dengan baik. Atas faktor ini juga menyebabkan ianya menjadi lebih rumit apabila DAP dan bukan melayu PKR secara terang-terangan menolak sepenuhnya penubuhan negara Islam, pandangan yang sama turut dimiliki oleh pemimpin-pemimpin politik bukan melayu di dalam parti-parti komponen BN. Ianya retorik dan harus ditolak.


Faktor keempat adalah sistem politik negara ini yang tidak mungkin membenarkan PM bukan melayu. Ini adalah kerana UMNO masih merupakan parti terbesar dan mendapat sokongan yang kerusi paling banyak berbanding parti-parti lain di negara ini. Namun ianya bukan bermakna PM mesti daripada UMNO. Lihat apa yang berlaku di Perak. Walaupun UMNO memenangi kerusi terbanyak namun PAS menjadi MB walaupun DAP yang sebenarnya berkuasa. Berpijaklah di bumi nyata...

Thursday, November 13, 2008

Perlantikan Bukan Melayu bagi Jawatan Pengurus Besar PKNS tidak menepati aspirasi penubuhan PKNS

Isu pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar PKNS menjadi satu isu yang panas dan menjadi perbualan rata-rata orang melayu. Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang diterajui oleh PKR mula kehilangan kepercayaan orang melayu untuk memulihkan beberapa isu yang UMNO dikatakan gagal. Namun setelah melihat tindak tanduk PKR selepas pilihanraya lalu ianya mula mewujudkan satu kebimbangan yang ketara kepada rata-rata orang melayu terutamanya golongan professional seperti saya.

Walaupun Tan Sri Khalid menyatakan pelantikan tersebut bersifat sementara, namun ianya tidak memuaskan hati orang melayu kerana alasan itu amat lemah dan tidak masuk akall orang melayu kerana kalau ianya bersifat sementara, tentunya wujud calon lain berbangsa melayu yang mampu menjawat Jawatan tersebut sebelum calon terbaik dipilih mengisi jawatan Pengurus Besar PKNS. Tidak hairan ramai pekerja-pekerja PKNS mengecam perlantikan salah tersebut. Kadang-kadang dalam membuat keputusan, realiti harus juga dilihat dan janganlah terlalu idealistik. Pakatan Rakyat terlalu idealistik seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata.

Antara jawapan lain yang turut dibuat apabila pelantikan tersebut dikecam kuat oleh UMNO dan NGO2 melayu, Pakatan Rakyat menyatakan bahawa lebih 75% kerja-kerja PKNS ketika ini diberikan kepada bukan melayu samada secara tidak terus ataupun terus. Alasan yang dibuat ini seolah-olah mengatakan bahawa UMNO telah gagal menjadikan PKNS menepati aspirasi penubuhannya.

PKNS dari pengamatan saya sememangnya telah berjaya dalam melaksanakan tanggungjawabnya membangunkan tanah-tanah kerajaan negeri disamping membangunkan orang melayu. Lihat sahaja di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi sebagai contoh. Pembangunan yang lansung tidak mengabaikan orang melayu. Pemilikan orang melayu bagi hartanah-hartanah perniagaan meningkat begitu ketara di Selangor hasil dari dasar dan sistem yang diperkenalkan PKNS. Ini tidak pula dinyatakan oleh Pakatan Rakyat. Hari ini banayak kedai2, pejabat2 sudah dimiliki oleh orang melayu dengan jumlah yang banyak.

Kerja-kerja pembinaan sememangnya akan melibatkan bukan melayu terutamanya kontraktor-kontraktor cina yang sudah lama menguasai bidang tersebut ketika ini. Masakan PKNS menolak mereka ini hanya secara membuta tuli bagi mempertahankan Bangsa Melayu semata-mata. Faktor kos pembinaan sememangnya memainkan peranan dalan hal ini yang seolah-olah tidak difahami oleh pemimpin Pakatan rakyat dalam memberikan komen ttg penglibatan bukan melayu dalam kerja-kerja PKNS. Hakikatnya memang wujud ruang yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan lagi penglibatan orang melayu dalam projek2 PKNS, namun pujian harus diberi kan kepada kerajaan negeri terdahulu kerana PKNS terbukti berjaya meningkatkan dengan ketara penglibatan bangsa melayu dalam perniagaan dan dalam masa yang sama dapat berlaaku adil kepada bangsa bukan melayu yang turut berpeluang terlibat sama. Inilah asas yang tidak difahami Pakatan Rakyat.

Mengapa pula ianya menjadi isu. Saya mula merasakan Pakatan Rakyat tidak jelas dalam perjuangan mereka dan cakap berbalik-balik dari satu isu ke satu isu. PAS dilihat amat lemah dan seolah-olah takde kuasa lansung di Selangor dan Perak malah tidak keterlaluan jika dikatakan PAS hanyalah menjadi batu loncatan utk PKR dan DAP semata-mata. PKR mula yang dilihat menguasai PAS dan bukan sebaliknya.

Berbalik kepada alasan perlantikan yang diberikan iaitu sementara, ianya juga menampakkan kelemahan dan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri yang semakin kelam kabut.

Retak Menanti Belah

Saya agak sibuk beberapa minggu ni. Baru ada kelapangan untuk mencoret sedikit. Isu yang saya akan perkatakan kali ini adalah isu bangsa alain juga boleh menjadi Perdana Menteri dan politik berbilang bangsa masih relevant mengikut kata Tun Mahathir.

Namun ada pihak yang tidak menerima konsep politik berbilang bangsa kerana ianya dilihat tidak mengikut arus semasa terutamanya pemimpin DAP.

Arus semasa? Kenapa tak boleh berbilang bangsa? Apa alasannya?

Saya menolak mentah2 sebarang usaha untuk mengubah lanskap politik negara ini kepada sistem dua parti mahupun parti berbilang bangsa. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita harus memahami uniknya negara ini kerana mempunyai pelbagai bangsa dan asas negara yang terbentuk dari ketuanan dan kepentingan orang melayu serta bumiputra diberi keutamaan. Ianya seaakan tidak dapat diterima oleh masyarakat bukan melayu/bukan bumiputra.

Selepas lebih 50 tahun kita merdeka dan selepas peristiwa 13 Mei, nampaknya masyarakat bukan melayu tidak terdidik dengan baik untuk memahami konsep kenegaraan ini dan menghormati status kompromi antara pribumi dan pendatang pada masa dahulu. Parti-parti politi bukan melayu harus membuat kerja dengan baik mendidik bangsa mereka daripada sibuk mengkritik dan mencari kesalahan orang lain.

Tuesday, October 14, 2008

Matlamat Rakyat Malaysia

Setiap kita mempunyai cita2 dan matlamat yang berbeza..ada juga yg mempunyai matlamat yang sama. Dalam permainan catur misalnya..matlamat kita ialah untuk memenangi permainan tersebut. Untuk mencapai matlamat tersebut kita bermain dengan pelbagai cara dan helah agar pihak lawan dapat ditumpaskan. Dalam kehidupan kita juga sebegitu. Namun cara dan pendekatan sedikit berbeza kerana tidak semestinya salah satu akan menang dan lawannya aka kalah. Kedua2nya boleh menang jika saling tolong-menolong.

Kembali kepada politik. Antara topik yang cukup diminati dan menjadi tajuk perbualan oleh aku dan rakan2 semasa minum pagi atau petang. Hari ini aku tak berkongsi pandangan aku tentang senario politik semasa. Pilihanraya Mac lalu amat memberikan satu perubahan pemikiran yang cukup besar kepada rata-rata rakyat Malaysia. Kenapa dan mengapa ianya berlaku masih menjadi satu tanda tanya yang cukup mengelirukan. Pelbagai komen dan pandangan diberikan oleh pelbagai pihak. Yang sering aku dengar ialah rakyat menolak Barisan Nasional. Politik berasaskan kaum seharusnya ditolak. Umno sering menjadi kecaman dan kutukan bukan sahaja oleh Bukan Melayu malah oleh org melayu sendiri. Parti-parti komponen lain di dalam Barisan Nasional juga tidak terlepas daripada tempias kritikan dan kutukan itu. Pakatan Rakyat mula menggunakan perubahan itu dengan mengatakan mereka mendapat sokongan Rakyat. Nama Pakatan Rakyat itu sendiri memainkan satu sentimen seakan ianya adalah milik rakyat dan terbentuk oleh rakyat. Aku tidak terkeliru. Kerana aku lihat PR sendiri masih belum menyelesaikan masalah sesama parti-parti komponen didalamnya dan membentuk persefahaman seperti parti-parti komponen BN. Aku tidak sanggup memperjudikan kestabilan politik negara dan kestabilan antara kaum. Lihatlah apa yang berlaku di Pakistan dan Thailand menjadi pengajaran kepada aku. Suatu hari aku mungkin menerima pakatan baru itu.

Adalah menjadi satu kebiasaan bagi manusia untuk menilai apa yang sudah dimiliki bermasalah dan bercita-cita untuk membuat perubahan apatah lagi Barisan Nasional mula dilihat sebagai bermasalah dan merupakan cara serta pendekatan politik yang salah apabila menekankan politik mengikut kaum. BN dilihat tidak mampu mengubah masalah perkauman, tidak mampu menyesaikan masalah ekonomi sesetengah golongan, tidak mampu menyelesaikan masalah sosial dan pelbagai lagi ketidakmampuan BN yang dihujahkan. Aku berfikir. Rakyat mula mencari penyelesaian bagi segala permasalahan itu. Munculnya PR adalah menjadi tempat untuk rakyat menunjukkan rasa tidak puashati mereka kepada BN. Aku berfikir lagi. Mampukah PR menyelesaikan masalah2 itu. Atau ianya lebih berpunca dari masalah semulajadi manusia sendiri.

Kini wujud pula semacam satu idea atau dokongan baru untuk mengubah lanskap politik tanahair dengan membawa hujah perjuangan politik berasaskan kaum adalah salah dan tidak membina. Sebagai seorang professional melayu aku cuba untuk mendalami isu ini agar aku tidak membuat kesilapan yang boleh membawa kepada kehancuran tamadun bangsa mahupun negara. Hujah2 banyak dilontarkan tentang kepentingan politik parti pelbagai kaum namun ianya tidak berupaya meyakinkan aku tentangnya. Kenapa? Sebenarnya kita perlu menerima hakikat ianya lebih kompleks dan rumit dan tidak semudah yang kita bahaskan dan sangkakan. Bercakap memang mudah. Melaksanakannya perlu berpijak dibumi nyata dan bukannya sekadar angan2 tanpa mengambil kira faktor2 yang mempengaruhinya. Lihat sahaja di dalam Parti2 politik tanahair yang dibentuk pasa asasnya menjadi parti berbilang kaum seperti Gerakan, PPP, DAP, PKR dan lain2 seumpamanya. Akhirnya mereka tunduk kepada faktor semulajadi manusia iaitu akan lebih mencari persamaan diantara mereka. Gerakan hari ini ditunjangi rata2 oleh mereka berbangsa cina. Begitu juga dengan PPP dan DAP yang melihat kurangnya sambutan dan sokongan orang melayu. Mungkin disebabkan kewujudan UMNO dan PAS menghalang mereka untuk mendapat sokongan orang melayu. Mungkin.

Kita lihat sahaja di Amerika Syarikat ketika ini dimana politik mereka berasaskan Sistem Dua Parti yang lebih stabil dan memberikan pilihan kepada rakyat untuk mengubah parti pemerintah mengikut kepentingan rakyat. Mereka tiada parti berasaskan kaum seperti di negara kita ini. Banyak pihak yang berhujah tentang perkara ini dan mengatakan kita juga harus mengambil pendekatan seperti Amerika Syarikat. Namun mereka ini sebenarnya terlupa bahawa senario politik negara kita jauh lebih rumit dari itu kerana banyak faktor-faktor yang berbeza. Faktor yang paling ketara yang aku lihat adalah faktor agama. Hari ni isu samada Barrack Obama seorang Islam atau Kristian menjadi begitu penting di Amerika Syarikat yang menunjukkan mereka masih belum mampu menerima Presiden beragama Islam. Mereka cukup sensitif tentang isu ini dan kerana itulah isu agama dan kaum sering terdengar dan dimainkan oleh banyak pihak di dalam kempen, ulasan dan hujah-hujah sesama proses pemilihan presiden Amerika Syarikat. Ianya masih menjadi satu masalah besar pemikiran dan menghantui rata-rata pengundi di Amerika Syarikat. Kita di Malaysia bukan sahaja berbeza kaum malah kita juga mempunyai perbezaan agama. Namun selepas BN memerintah lebih 50 tahun resipe yang digunapakai setakat ini seakan berjaya mewujudkan kestabilan dan persefahaman antara kaum. Hari ini kita berhujah untuk mengubah dasar ini. Namun bagaimana mengubahnya. Perlukah kita mengubahnya. Atau wujud pihak2 yang berkepentingan tertentu mengusulkan perubahan demi mencapai matlamat mereka. Kita harus berhati2. Berfikir sedalam-dalamnya.

Faktor yang lain juga perlu diambil kira iaitu faktor Kepentingan Bumiputra. Ini faktor penting dan isu inilah sebenarnya yang menjadi kemelut di dalam politik semasa ketika ini. Isu ini amat berkait rapat dengan faktor sejarah. Kita tidak harus menafikan sejarah kerana itulah asal kewujudan Perlembagaan Persekutuan yang manjadi tunjang dan asas negara. Semasa kita mencapai kemerdekaan, telah wujud satu kesefahaman antara Bumiputra dan bukan bumiputra untuk menerima hak-hak keistemewaan bumiputra dengan bumiputra turut menerima bukan bumiputra menjadi warganegara Tanah Melayu ketika itu. Kini setelah lebih 50 tahun merdeka bukan bumiputra mula merasakan perlunya dasar ini dimansuhkan kerana seolah-olah mereka tidak diterima sepenuhnya sebagai warganegara. Kenapa mereka merasakan sebegitu. Aku sedikit tidak memahami mengapa pandangan mereka berubah daripada pandangan nenek moyang mereka dulu. Mungkin sebab ianya tidak lagi relevan. Sebab kita kena wujudkan bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia. Mmm, satu terma yang cukup popular ketika ini dalam kancah politik.

Pihak2 yang memperjuangkan Bangsa Malaysia ini sering mengambil contoh Amerika Syarikat. Aku suka menggunakan amerika syarikat juga sebagai perbandingan untuk memahami sesuatu isu dengan baik. Mereka mendakwa kenapa kita tidak ikut amerika syarikat apabila rakyatnya mengelar mereka 'American' dan bukan mengikut bangsa. Mereka ini sebenarnya lupa bahawa hari ini, di abad ini. di zaman amerika lebih maju berbanding kita, mereka masih mengunakan istilah seperti White, Black, Hispanic, Asian dalam menentukan golongan rakyat mereka. Malah isu kaum dan warna kulit cukup besar memainkan peranan dalam pemilihan presiden mereka. Jadi mereka yang berhujah ttg Bangsa Malaysia ini sebenarnya lupa bahawa kita juga menggunakan perkataan 'Malaysian' atau rakyat Malaysia. Mungkin apa yang cuba diketengahkan oleh mereka ini dengan terbentuknya Bangsa Malaysia maka tidak perlu lagi 'Affirmative Policy' yang diperkenalkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Biar sama rata.

Isu sama rata ini sangat menarik jika hendak dibincangkan. Seorang teman sering mengatakan bahawa dasar mengutamakan bumiputra oleh kerajaan sebenarnya merosakkan terutamanya bangsa melayu. Aku tidak bersetuju. Sebab bagi aku apa yang penting sebenarnya adalah pelaksanaannya bukan dasar. dasar apa pun kalau dibuat namun pelaksanaannya tidak adil dan telus maka ianya tetap membawa masalah. Kita hidup, berniaga, bekerja mahupun berpolitik sering mengikut kepentingan bangsa dan faktor manusia. Kita lihat masyarakat cina, dalam berniaga mereka amat membantu sesama bangsa mereka. Itu lumrah. Kita lihat syarikat2 yang dimilik oleh bangsa cina, kebanyakan pekerja-pekerja atasan mereka adalah bangsa cina. Begitu juga orang melayu. pekerja-pekerja mereka juga ramai orang melayu. Namun apa yang menjadi penting di adalm sistem ini adalah tolak ansur dan kemampuan sesuatu bangsa membuka ruang perniagaan dan pekerjaan kepada bangsa lain. Jika sesuatu bangsa itu tidak berupaya membantu bangsa lain untuk maju seiring kemajuan bangsa sendiri, itulah sebenarnya masalah utama yang perlu diselesaikan tidak kira apapun dasar atau nama dasar itu diberi. Lihat politik pula, sebagai contoh parti Gerakan, ianya dikuasai oleh bangsa cina walaupun Gerakan seharusnya menjadi parti berbilang bangsa. Itulah faktor manusia yang kita harus fahami. Kerana itulah juga hari ini kita lihat masyarakat cina menguasai ekonomi negara walaupun mereka itu jumlahnya lebih kecil berbanding masyarakat melayu. Budaya membantu bangsa, atau affirmative policy dalam masyarakat cina amat ketara dapat dilihat. Apabila aku berborak dengan seorang rakan berbangsa cina, dia mengatakan mereka perlu berbuat begitu kerana kerajaan tidak membantu mereka. Siapa lagi nak bantu mereka kalau bukan bangsa mereka sendiri. Aku pasrah. Dasar DEB itulah katanya menyebabkan cina jadi begitu. Ada juga kebenarannya. Betulke begitu..aku terus berfikir. Namun jauh dilubuk hati aku terdetik, kalau dasar kerajaan mementingkan golongan bumiputra semata2 aku rasa dalam tempoh yang singkat bangsa bukan bumiputra tentunya terpinggir dan tidak mampu menguasai ekonomi seperti sekarang. Malah aku seakan terkeliru apabila ada pihak politik yang mendakwa UMNO gagal membantu orang melayu menguasai ekonomi kerana sering mengambil kira kepentingan bangsa lain juga. Di pihak lain pula mengatakan UMNO terlalu mementingkan orang Melayu dan bersikap perkauman. Aku mula pening. Suratkhabar ari ni aku terbaca pasal seorang pemimpin Gerakan membuat kenyataan mereka perlu berubah dan menyatakan seolah-olah selama ini Gerakan terlalu mengikut UMNO di dalam BN. Aku kurang faham. Ada pemimpin DAP pula kata kerajaan sengaja mengeluarkan statistik yang salah tentang penguasaan ekonomi oleh orang melayu untuk terus melaksanakan dasar DEB itu seolah-olah memberi gambaran melayu sudahpun banyak berjaya dan menguasai ekonomi dengan dasar itu maka ianya haruslah dihapuskan kini. Mungkin juga UMNO sepatutnya tidak terlalu mementingkan orang Melayu lagi. PAS dan melayu PKR kata UMNO gagal membantu ekonomi orang melayu. Hairan aku. Yang mana satu yang betul.

Bagi aku pembaharuan yang cuba dibawa perlu diteliti dengan baik. Hari ini walaupun Kerajaan memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat2 bumiputra, peniaga2 cina tidak disisihkan oleh peniaga2 bumiputra kerana rata2 rakan aku dalam perniagaan mengatakan hampir 70% projek2 kerajaan dimanfaatkan oleh peniaga2 cina. Kaum india aku lihat seakan terhimpit dengan dasar 'Affirmative Policy' yang wujud secara ketara dalam masyarakat cina dan masyarakat melayu. Kalau budaya ini berterusan ianya semakin kusut dan sukar dirungkaikan. Aku merasakan tiada masalah dengan dasar itu cuma pelaksanaannya perlu dinilai dan dikemaskinikan bagi memsatikan semua pihak mendapat keuntungan dan ekonomi dirasai dan dikuasai oleh semua kaum bukan satu kaum sahaja.

Lihat juga faktor pendidikan. Mereka laungkan Bangsa Malaysia. Namun apabila kerajaan mencadangkan sekolah berbentuk majmuk dan mengusulkan penghapusan sekolah berasaskan kaum dan agama, mereka menentang. Pelbagai aladsan diberi. Bukankah ianya juga perlu kearah mewujudkan Bangsa Malaysia yang mereka sendiri usulkan dan perjuangkan. Aku mula menerima hakikat bahawa faktor semulajadi manusia tidak harus diketepikan dalam pembentukan dasar2 baru. Aku bangsa Melayu Rakyat Malaysia.

Friday, October 10, 2008

Gerakan Bidak Pertama

Semalam bermulalah blog diriku ini...dah lama nak buat blog tapi kesuntukan masa kerana kesibukan dalam hidup. Namun teman2 yang mendorong agar aku membuat satu blog bagi berkongsi pengalaman hidup dan pandangan aku. Terutama dengan generasi muda sebaya denganku...

Gerakan bidak pertama amat penting dalam permainan catur...kerana ianya menentukan halatuju permainan sehingga akhir. Begitulah juga dengan kehidupan kita..bagaimana kita memulakan sesuatu perkara menjadi begitu penting dalam menentukan natijahnya..

Baik dalam kerjaya, keluarga dan perkara-perkara yang lebih besar seperti politik, kenegaraan, perjuangan sesuatu bangsa, perjuangan sesebuah negara menuju kemenangan catur kehidupan. Bermulalah dengan baik dan terancang....

Kita pernah bermula dalam permainan terdahulu dengan salah mengerakkan bidak pertama dan kita mula menyedari ianya memberikan kesan yang amat besar dengan perjalanan seluruh permainan sehingga akhir. Kita belajar dari kesilapan. Kesilapan mematangkan kita..kesilapan menjadikan kita lebih baik dan mudah memaafkan orang lain yang turut melakukan kesilapan. Alangkah baik kalau kematangan itu hadir tanpa perlu melalui kesilapan yang amat besar...yang menjejaskan perjalanan kita seterusnya di dalam hidup...

Ambil masa...berfikir sejenak..sebelum memulakan gerakan bidak pertama...kenapa? perlukah kita berfikir atau kita hanya perlu mengerakkan saja mana2 bidak catur untuk memulakan permainan dan melihat gerakan pertama lawan kita. Kalau kita tidak tahu untuk bermula pun akan menjadi satu kerumitan dalam hidup. Ramai orang yang berani mengambil risiko memulakan gerakan pertama yang tidak dibuat oleh pemain-pemain sebelumnya. Ianya bakal memberikan kesan kerana telah ada yang mencuba dan gagal. Jadi mengambil contoh kegagalan orang lain adalah yang terbaik. Malah kini ramai yang telah gagal tampil berkongsi kegagalan dan ketidaksesuaian gerakan pertama itu. Terima kasih di atas nasihat dan tunjukajar bagaimana memulakan gerakan bidak pertama yang terbaik..

Hari ini kita lihat bagaimana dalam dunia kerjaya, perniagaan mahupun politik. Gugurnya bidak-bidak akibat gerakan pertama yang salah. Membuat pilihan gerakan pertama yang salah mampu memberi kesan yang amat mendalam kepada seseorang individu, masyarakat mahupun negara.

Aku ingin mencoret sedikit tentang isu semasa kini..isu apa ya..isu paling diminati ketika ini. Isu politiklah. Setiap individu mempunyai padangan mereka yang berbeza tentang dunia politik, cara berpolitik, fahaman mahupun matlamat. Pernah aku berjumpa dengan orang lebih tua yang mengaku pernah menyokong sesuatu perjuangan politik dan kini berubah pandangan sepenuhnya tentang gerakan pertama yang dibuat dulu..kini segalanya berubah..kini menyalahkan sepenuhnya gerakan pertama itu..menyesal sungguh dia kerana membuat gerakan itu...aku angguk seolah-olah memahami..namun jauh dilubuk hati aku merasakan pakcik itu masih berupaya berubah pandangannya apabila gerak dan langkah yang diambil pihak lain menjadikan dia perlu mengubah gerakannya yang seterusnya sehingga ke akhir.

Lihat sahaja pemimpin-pemimpin kita tak kira dalam parti politik mana pun..telah ramai membuat kesilapan gerakan pertama dan hari ini mengubah gerakan pula..mengubah cara permainan. Masuk BN keluar BN. Masuk PR keluar PR. Masuk parti itu keluar parti itu. Menyokong parti itu kemudiaan menentang parti itu. Berjuang menaikkan parti itu kemudian berjuang menjatuhkan parti itu. Mendapat keuntungan dari parti itu dan kemudiannya tidak mendapat keuntungan dari parti itu. Berhujah parti itu betul dan membela rakyat kemudiaan berhujah parti itu tidak betul dan merugikan rakyat. Berhujah pemimpin parti itu baik dan kemudian berhujah pemimpin parti itu jahat. Parti itulah yang paling sesuai untuk perjuangan bangsa kemudian kata parti itu tidak sesuai untuk perjuangan bangsa. Perjuangannya salah. Itulah politik..Pemimpin begitu sebenarnya telah membuat gerakan pertama yang salah. Dia pasrah. Dia akur kesilapannya..dia manusia..namun itulah hakikatnya..itulah parti dia dulunya..itulah medan dia berpolitik dulunya..pastikah dia tidak akan bertukar lagi..pastikah dia..yakinkah dia..

Mungkin kita perlu menerima hakikat setiap manusia mempunyai pandangan dan cara berbeza dalam memulakan gerakan bidak pertama. Namun apa yang pasti setiap pemain mahukan kemenangan, mahukan strategi terbaik, mahukan pihak lawan tersilap gerakan dan langkah dan mahukan tiada kesilapan dalam gerakan yang dibuat. Namun manusia tetap manusia. Kepentingan sendiri sering diutamakan. Tidak salah. Itu semulajadi manusia. Namun menjaga kepentingan sendiri tidak harus menjejaskan kepentingan orang lain..Seimbangkan..bagaimana? Amat sukar.

Kita jumpa di gerakan bidak seterusnya..

Oleh Adnan Seman