Tuesday, October 14, 2008

Matlamat Rakyat Malaysia

Setiap kita mempunyai cita2 dan matlamat yang berbeza..ada juga yg mempunyai matlamat yang sama. Dalam permainan catur misalnya..matlamat kita ialah untuk memenangi permainan tersebut. Untuk mencapai matlamat tersebut kita bermain dengan pelbagai cara dan helah agar pihak lawan dapat ditumpaskan. Dalam kehidupan kita juga sebegitu. Namun cara dan pendekatan sedikit berbeza kerana tidak semestinya salah satu akan menang dan lawannya aka kalah. Kedua2nya boleh menang jika saling tolong-menolong.

Kembali kepada politik. Antara topik yang cukup diminati dan menjadi tajuk perbualan oleh aku dan rakan2 semasa minum pagi atau petang. Hari ini aku tak berkongsi pandangan aku tentang senario politik semasa. Pilihanraya Mac lalu amat memberikan satu perubahan pemikiran yang cukup besar kepada rata-rata rakyat Malaysia. Kenapa dan mengapa ianya berlaku masih menjadi satu tanda tanya yang cukup mengelirukan. Pelbagai komen dan pandangan diberikan oleh pelbagai pihak. Yang sering aku dengar ialah rakyat menolak Barisan Nasional. Politik berasaskan kaum seharusnya ditolak. Umno sering menjadi kecaman dan kutukan bukan sahaja oleh Bukan Melayu malah oleh org melayu sendiri. Parti-parti komponen lain di dalam Barisan Nasional juga tidak terlepas daripada tempias kritikan dan kutukan itu. Pakatan Rakyat mula menggunakan perubahan itu dengan mengatakan mereka mendapat sokongan Rakyat. Nama Pakatan Rakyat itu sendiri memainkan satu sentimen seakan ianya adalah milik rakyat dan terbentuk oleh rakyat. Aku tidak terkeliru. Kerana aku lihat PR sendiri masih belum menyelesaikan masalah sesama parti-parti komponen didalamnya dan membentuk persefahaman seperti parti-parti komponen BN. Aku tidak sanggup memperjudikan kestabilan politik negara dan kestabilan antara kaum. Lihatlah apa yang berlaku di Pakistan dan Thailand menjadi pengajaran kepada aku. Suatu hari aku mungkin menerima pakatan baru itu.

Adalah menjadi satu kebiasaan bagi manusia untuk menilai apa yang sudah dimiliki bermasalah dan bercita-cita untuk membuat perubahan apatah lagi Barisan Nasional mula dilihat sebagai bermasalah dan merupakan cara serta pendekatan politik yang salah apabila menekankan politik mengikut kaum. BN dilihat tidak mampu mengubah masalah perkauman, tidak mampu menyesaikan masalah ekonomi sesetengah golongan, tidak mampu menyelesaikan masalah sosial dan pelbagai lagi ketidakmampuan BN yang dihujahkan. Aku berfikir. Rakyat mula mencari penyelesaian bagi segala permasalahan itu. Munculnya PR adalah menjadi tempat untuk rakyat menunjukkan rasa tidak puashati mereka kepada BN. Aku berfikir lagi. Mampukah PR menyelesaikan masalah2 itu. Atau ianya lebih berpunca dari masalah semulajadi manusia sendiri.

Kini wujud pula semacam satu idea atau dokongan baru untuk mengubah lanskap politik tanahair dengan membawa hujah perjuangan politik berasaskan kaum adalah salah dan tidak membina. Sebagai seorang professional melayu aku cuba untuk mendalami isu ini agar aku tidak membuat kesilapan yang boleh membawa kepada kehancuran tamadun bangsa mahupun negara. Hujah2 banyak dilontarkan tentang kepentingan politik parti pelbagai kaum namun ianya tidak berupaya meyakinkan aku tentangnya. Kenapa? Sebenarnya kita perlu menerima hakikat ianya lebih kompleks dan rumit dan tidak semudah yang kita bahaskan dan sangkakan. Bercakap memang mudah. Melaksanakannya perlu berpijak dibumi nyata dan bukannya sekadar angan2 tanpa mengambil kira faktor2 yang mempengaruhinya. Lihat sahaja di dalam Parti2 politik tanahair yang dibentuk pasa asasnya menjadi parti berbilang kaum seperti Gerakan, PPP, DAP, PKR dan lain2 seumpamanya. Akhirnya mereka tunduk kepada faktor semulajadi manusia iaitu akan lebih mencari persamaan diantara mereka. Gerakan hari ini ditunjangi rata2 oleh mereka berbangsa cina. Begitu juga dengan PPP dan DAP yang melihat kurangnya sambutan dan sokongan orang melayu. Mungkin disebabkan kewujudan UMNO dan PAS menghalang mereka untuk mendapat sokongan orang melayu. Mungkin.

Kita lihat sahaja di Amerika Syarikat ketika ini dimana politik mereka berasaskan Sistem Dua Parti yang lebih stabil dan memberikan pilihan kepada rakyat untuk mengubah parti pemerintah mengikut kepentingan rakyat. Mereka tiada parti berasaskan kaum seperti di negara kita ini. Banyak pihak yang berhujah tentang perkara ini dan mengatakan kita juga harus mengambil pendekatan seperti Amerika Syarikat. Namun mereka ini sebenarnya terlupa bahawa senario politik negara kita jauh lebih rumit dari itu kerana banyak faktor-faktor yang berbeza. Faktor yang paling ketara yang aku lihat adalah faktor agama. Hari ni isu samada Barrack Obama seorang Islam atau Kristian menjadi begitu penting di Amerika Syarikat yang menunjukkan mereka masih belum mampu menerima Presiden beragama Islam. Mereka cukup sensitif tentang isu ini dan kerana itulah isu agama dan kaum sering terdengar dan dimainkan oleh banyak pihak di dalam kempen, ulasan dan hujah-hujah sesama proses pemilihan presiden Amerika Syarikat. Ianya masih menjadi satu masalah besar pemikiran dan menghantui rata-rata pengundi di Amerika Syarikat. Kita di Malaysia bukan sahaja berbeza kaum malah kita juga mempunyai perbezaan agama. Namun selepas BN memerintah lebih 50 tahun resipe yang digunapakai setakat ini seakan berjaya mewujudkan kestabilan dan persefahaman antara kaum. Hari ini kita berhujah untuk mengubah dasar ini. Namun bagaimana mengubahnya. Perlukah kita mengubahnya. Atau wujud pihak2 yang berkepentingan tertentu mengusulkan perubahan demi mencapai matlamat mereka. Kita harus berhati2. Berfikir sedalam-dalamnya.

Faktor yang lain juga perlu diambil kira iaitu faktor Kepentingan Bumiputra. Ini faktor penting dan isu inilah sebenarnya yang menjadi kemelut di dalam politik semasa ketika ini. Isu ini amat berkait rapat dengan faktor sejarah. Kita tidak harus menafikan sejarah kerana itulah asal kewujudan Perlembagaan Persekutuan yang manjadi tunjang dan asas negara. Semasa kita mencapai kemerdekaan, telah wujud satu kesefahaman antara Bumiputra dan bukan bumiputra untuk menerima hak-hak keistemewaan bumiputra dengan bumiputra turut menerima bukan bumiputra menjadi warganegara Tanah Melayu ketika itu. Kini setelah lebih 50 tahun merdeka bukan bumiputra mula merasakan perlunya dasar ini dimansuhkan kerana seolah-olah mereka tidak diterima sepenuhnya sebagai warganegara. Kenapa mereka merasakan sebegitu. Aku sedikit tidak memahami mengapa pandangan mereka berubah daripada pandangan nenek moyang mereka dulu. Mungkin sebab ianya tidak lagi relevan. Sebab kita kena wujudkan bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia. Mmm, satu terma yang cukup popular ketika ini dalam kancah politik.

Pihak2 yang memperjuangkan Bangsa Malaysia ini sering mengambil contoh Amerika Syarikat. Aku suka menggunakan amerika syarikat juga sebagai perbandingan untuk memahami sesuatu isu dengan baik. Mereka mendakwa kenapa kita tidak ikut amerika syarikat apabila rakyatnya mengelar mereka 'American' dan bukan mengikut bangsa. Mereka ini sebenarnya lupa bahawa hari ini, di abad ini. di zaman amerika lebih maju berbanding kita, mereka masih mengunakan istilah seperti White, Black, Hispanic, Asian dalam menentukan golongan rakyat mereka. Malah isu kaum dan warna kulit cukup besar memainkan peranan dalam pemilihan presiden mereka. Jadi mereka yang berhujah ttg Bangsa Malaysia ini sebenarnya lupa bahawa kita juga menggunakan perkataan 'Malaysian' atau rakyat Malaysia. Mungkin apa yang cuba diketengahkan oleh mereka ini dengan terbentuknya Bangsa Malaysia maka tidak perlu lagi 'Affirmative Policy' yang diperkenalkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Biar sama rata.

Isu sama rata ini sangat menarik jika hendak dibincangkan. Seorang teman sering mengatakan bahawa dasar mengutamakan bumiputra oleh kerajaan sebenarnya merosakkan terutamanya bangsa melayu. Aku tidak bersetuju. Sebab bagi aku apa yang penting sebenarnya adalah pelaksanaannya bukan dasar. dasar apa pun kalau dibuat namun pelaksanaannya tidak adil dan telus maka ianya tetap membawa masalah. Kita hidup, berniaga, bekerja mahupun berpolitik sering mengikut kepentingan bangsa dan faktor manusia. Kita lihat masyarakat cina, dalam berniaga mereka amat membantu sesama bangsa mereka. Itu lumrah. Kita lihat syarikat2 yang dimilik oleh bangsa cina, kebanyakan pekerja-pekerja atasan mereka adalah bangsa cina. Begitu juga orang melayu. pekerja-pekerja mereka juga ramai orang melayu. Namun apa yang menjadi penting di adalm sistem ini adalah tolak ansur dan kemampuan sesuatu bangsa membuka ruang perniagaan dan pekerjaan kepada bangsa lain. Jika sesuatu bangsa itu tidak berupaya membantu bangsa lain untuk maju seiring kemajuan bangsa sendiri, itulah sebenarnya masalah utama yang perlu diselesaikan tidak kira apapun dasar atau nama dasar itu diberi. Lihat politik pula, sebagai contoh parti Gerakan, ianya dikuasai oleh bangsa cina walaupun Gerakan seharusnya menjadi parti berbilang bangsa. Itulah faktor manusia yang kita harus fahami. Kerana itulah juga hari ini kita lihat masyarakat cina menguasai ekonomi negara walaupun mereka itu jumlahnya lebih kecil berbanding masyarakat melayu. Budaya membantu bangsa, atau affirmative policy dalam masyarakat cina amat ketara dapat dilihat. Apabila aku berborak dengan seorang rakan berbangsa cina, dia mengatakan mereka perlu berbuat begitu kerana kerajaan tidak membantu mereka. Siapa lagi nak bantu mereka kalau bukan bangsa mereka sendiri. Aku pasrah. Dasar DEB itulah katanya menyebabkan cina jadi begitu. Ada juga kebenarannya. Betulke begitu..aku terus berfikir. Namun jauh dilubuk hati aku terdetik, kalau dasar kerajaan mementingkan golongan bumiputra semata2 aku rasa dalam tempoh yang singkat bangsa bukan bumiputra tentunya terpinggir dan tidak mampu menguasai ekonomi seperti sekarang. Malah aku seakan terkeliru apabila ada pihak politik yang mendakwa UMNO gagal membantu orang melayu menguasai ekonomi kerana sering mengambil kira kepentingan bangsa lain juga. Di pihak lain pula mengatakan UMNO terlalu mementingkan orang Melayu dan bersikap perkauman. Aku mula pening. Suratkhabar ari ni aku terbaca pasal seorang pemimpin Gerakan membuat kenyataan mereka perlu berubah dan menyatakan seolah-olah selama ini Gerakan terlalu mengikut UMNO di dalam BN. Aku kurang faham. Ada pemimpin DAP pula kata kerajaan sengaja mengeluarkan statistik yang salah tentang penguasaan ekonomi oleh orang melayu untuk terus melaksanakan dasar DEB itu seolah-olah memberi gambaran melayu sudahpun banyak berjaya dan menguasai ekonomi dengan dasar itu maka ianya haruslah dihapuskan kini. Mungkin juga UMNO sepatutnya tidak terlalu mementingkan orang Melayu lagi. PAS dan melayu PKR kata UMNO gagal membantu ekonomi orang melayu. Hairan aku. Yang mana satu yang betul.

Bagi aku pembaharuan yang cuba dibawa perlu diteliti dengan baik. Hari ini walaupun Kerajaan memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat2 bumiputra, peniaga2 cina tidak disisihkan oleh peniaga2 bumiputra kerana rata2 rakan aku dalam perniagaan mengatakan hampir 70% projek2 kerajaan dimanfaatkan oleh peniaga2 cina. Kaum india aku lihat seakan terhimpit dengan dasar 'Affirmative Policy' yang wujud secara ketara dalam masyarakat cina dan masyarakat melayu. Kalau budaya ini berterusan ianya semakin kusut dan sukar dirungkaikan. Aku merasakan tiada masalah dengan dasar itu cuma pelaksanaannya perlu dinilai dan dikemaskinikan bagi memsatikan semua pihak mendapat keuntungan dan ekonomi dirasai dan dikuasai oleh semua kaum bukan satu kaum sahaja.

Lihat juga faktor pendidikan. Mereka laungkan Bangsa Malaysia. Namun apabila kerajaan mencadangkan sekolah berbentuk majmuk dan mengusulkan penghapusan sekolah berasaskan kaum dan agama, mereka menentang. Pelbagai aladsan diberi. Bukankah ianya juga perlu kearah mewujudkan Bangsa Malaysia yang mereka sendiri usulkan dan perjuangkan. Aku mula menerima hakikat bahawa faktor semulajadi manusia tidak harus diketepikan dalam pembentukan dasar2 baru. Aku bangsa Melayu Rakyat Malaysia.

Friday, October 10, 2008

Gerakan Bidak Pertama

Semalam bermulalah blog diriku ini...dah lama nak buat blog tapi kesuntukan masa kerana kesibukan dalam hidup. Namun teman2 yang mendorong agar aku membuat satu blog bagi berkongsi pengalaman hidup dan pandangan aku. Terutama dengan generasi muda sebaya denganku...

Gerakan bidak pertama amat penting dalam permainan catur...kerana ianya menentukan halatuju permainan sehingga akhir. Begitulah juga dengan kehidupan kita..bagaimana kita memulakan sesuatu perkara menjadi begitu penting dalam menentukan natijahnya..

Baik dalam kerjaya, keluarga dan perkara-perkara yang lebih besar seperti politik, kenegaraan, perjuangan sesuatu bangsa, perjuangan sesebuah negara menuju kemenangan catur kehidupan. Bermulalah dengan baik dan terancang....

Kita pernah bermula dalam permainan terdahulu dengan salah mengerakkan bidak pertama dan kita mula menyedari ianya memberikan kesan yang amat besar dengan perjalanan seluruh permainan sehingga akhir. Kita belajar dari kesilapan. Kesilapan mematangkan kita..kesilapan menjadikan kita lebih baik dan mudah memaafkan orang lain yang turut melakukan kesilapan. Alangkah baik kalau kematangan itu hadir tanpa perlu melalui kesilapan yang amat besar...yang menjejaskan perjalanan kita seterusnya di dalam hidup...

Ambil masa...berfikir sejenak..sebelum memulakan gerakan bidak pertama...kenapa? perlukah kita berfikir atau kita hanya perlu mengerakkan saja mana2 bidak catur untuk memulakan permainan dan melihat gerakan pertama lawan kita. Kalau kita tidak tahu untuk bermula pun akan menjadi satu kerumitan dalam hidup. Ramai orang yang berani mengambil risiko memulakan gerakan pertama yang tidak dibuat oleh pemain-pemain sebelumnya. Ianya bakal memberikan kesan kerana telah ada yang mencuba dan gagal. Jadi mengambil contoh kegagalan orang lain adalah yang terbaik. Malah kini ramai yang telah gagal tampil berkongsi kegagalan dan ketidaksesuaian gerakan pertama itu. Terima kasih di atas nasihat dan tunjukajar bagaimana memulakan gerakan bidak pertama yang terbaik..

Hari ini kita lihat bagaimana dalam dunia kerjaya, perniagaan mahupun politik. Gugurnya bidak-bidak akibat gerakan pertama yang salah. Membuat pilihan gerakan pertama yang salah mampu memberi kesan yang amat mendalam kepada seseorang individu, masyarakat mahupun negara.

Aku ingin mencoret sedikit tentang isu semasa kini..isu apa ya..isu paling diminati ketika ini. Isu politiklah. Setiap individu mempunyai padangan mereka yang berbeza tentang dunia politik, cara berpolitik, fahaman mahupun matlamat. Pernah aku berjumpa dengan orang lebih tua yang mengaku pernah menyokong sesuatu perjuangan politik dan kini berubah pandangan sepenuhnya tentang gerakan pertama yang dibuat dulu..kini segalanya berubah..kini menyalahkan sepenuhnya gerakan pertama itu..menyesal sungguh dia kerana membuat gerakan itu...aku angguk seolah-olah memahami..namun jauh dilubuk hati aku merasakan pakcik itu masih berupaya berubah pandangannya apabila gerak dan langkah yang diambil pihak lain menjadikan dia perlu mengubah gerakannya yang seterusnya sehingga ke akhir.

Lihat sahaja pemimpin-pemimpin kita tak kira dalam parti politik mana pun..telah ramai membuat kesilapan gerakan pertama dan hari ini mengubah gerakan pula..mengubah cara permainan. Masuk BN keluar BN. Masuk PR keluar PR. Masuk parti itu keluar parti itu. Menyokong parti itu kemudiaan menentang parti itu. Berjuang menaikkan parti itu kemudian berjuang menjatuhkan parti itu. Mendapat keuntungan dari parti itu dan kemudiannya tidak mendapat keuntungan dari parti itu. Berhujah parti itu betul dan membela rakyat kemudiaan berhujah parti itu tidak betul dan merugikan rakyat. Berhujah pemimpin parti itu baik dan kemudian berhujah pemimpin parti itu jahat. Parti itulah yang paling sesuai untuk perjuangan bangsa kemudian kata parti itu tidak sesuai untuk perjuangan bangsa. Perjuangannya salah. Itulah politik..Pemimpin begitu sebenarnya telah membuat gerakan pertama yang salah. Dia pasrah. Dia akur kesilapannya..dia manusia..namun itulah hakikatnya..itulah parti dia dulunya..itulah medan dia berpolitik dulunya..pastikah dia tidak akan bertukar lagi..pastikah dia..yakinkah dia..

Mungkin kita perlu menerima hakikat setiap manusia mempunyai pandangan dan cara berbeza dalam memulakan gerakan bidak pertama. Namun apa yang pasti setiap pemain mahukan kemenangan, mahukan strategi terbaik, mahukan pihak lawan tersilap gerakan dan langkah dan mahukan tiada kesilapan dalam gerakan yang dibuat. Namun manusia tetap manusia. Kepentingan sendiri sering diutamakan. Tidak salah. Itu semulajadi manusia. Namun menjaga kepentingan sendiri tidak harus menjejaskan kepentingan orang lain..Seimbangkan..bagaimana? Amat sukar.

Kita jumpa di gerakan bidak seterusnya..

Oleh Adnan Seman